KULIAH DHUHA MINGGUAN SETIAP SABTU 9.30 PAGI DI DARUL HIKMAH KERDAU. SEMUA DIJEMPUT HADIR

Isnin, 24 Februari 2014

Perjuangan Pas Bukan Untuk  Taksub Individu.


Idris Hj Ahmad
20/2/14

Apabila Rasulullah wafat, Saidina Umar Alkhattab bangkit menyatakan dengan marah siapa yang kata baginda wafat maka akan dikenakan hukuman. Maka Saidina Abu Bakar Assidiq bangun dengan ungkapannya yang masyhur "Siapa yang menyembah Nabi Muhammad SAW sesungguhnya Nabi Muhammad sudah wafat, siapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah itu hidup dan tidak mati". Ini dalil hendak menunjukkan bahawa ajaran  Islam mengajar penganutnya hanya menyembah Allah tuhan yang esa bukannya menyembah makhluk. Ajaran baginda SAW hanya menyeru manusia menyembah Allah, bukan menyembah baginda. Baginda sebagai manusia biasa, cuma baginda mempunyai sifat maksum dan dianugerahkan wahyu oleh Allah SWT.

Maka asas inilah juga Pas sebagai sebuah Jamaah  Islam yang bergerak dijaluran dakwah dan politik,  menyeru manusia supaya kenal Allah dan mengabdikan sepenuhnya kepada Allah bukan kepada manusia. Pas bertugas menyeru manusia supaya menghayati Islam sepenuhnya. Pas tidak ajak manusia supaya taksub kepada mana-mana individu di dalam parti. Ketaatan kepada pemimpin selagi mereka taat kepada Allah dan Rasul. Mereka akan keseorangan dan menjadi kera sumbang apabila mereka meninggal dan mengkianat parti. Ahli Pas hanya wala' kepada mereka apabila pemimpin wala' dengan Allah dan Rasul.

Firman Allah SWT bermaksud
"sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman yang mendirikan solat, dan menunaikan zakat, sedang mereka ruku' ( tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya ( maka percayalah dia), kerana sesungguhnya golongan ( yang berpegang kepada agama) Allah, utulah yang tetap menang". ( Al-Maidah 55-56).

Sebab itu Pas pernah kehilangan Yang Dipertua Pas pertama Ustaz Haji Ahmad Fuad, apabila beliau mengikut Dato' Onn Jaafar. Pas tetap bergerak dipaksi perjuangannya. Bekas Setiausaha Agung Pas Ustaz Osman Abdullah keluar parti untuk menyertai Umno, beliau pernah manjadi ahli Parlimen Tanah Merah pada tahun 1959. Seorang yang hebat dan petah berpidato. Pernah mendapat didikan Parti Masyumi Indonesia yang dipimpin oleh Pak Mohd Nasir. Ustaz Osman juga pernah menjawat jawatan Ketua Pemuda Pas Pusat. Apabila beliau keluar parti tidak dapat mempengaruhi orang lain. Pas tetap utuh dan bergerak terus memacu perjuangannya tanpa memaling kekiri atau kanan. Pas pernah kehilangan Panglima Jihad Ustaz Hassan Adli, apabila beliau tidak bersama dengan keputusan pimpinan Pas yang membuat keputusan meletak jawatan dalam kabinet dan semua agensi kerajaan setelah Pas menentang Akta darurat di Kelantan pada tahun 1977.

 Pas juga pernah kehilangan Dato Asri Hj Muda bekas Yang Dipertua Pas Pusat. Seorang pidato yang mempunyai suara serak basah, dengan penggunaan bahasa sasterawan yang tinggi. Seorang yang diasuh sebagai pejuang kemerdekaan bersama dengan hizbul Muslimin, akhirnya mengakhiri hidupnya dengan Umno. Sebuah parti yang ditentang sejak beliau remaja. Kehebatan beliau ketika memimpin Pas, sehingga orang menganggap bahwa Pas akan mati tanpa Asri. Sehingga musuh-musuh Pas menamakan Pas ialah "Parti Asri Sekeluarga".Namun apabila ketiadaan beliau Pas bangkit dengan gagah dengan wujudnya kepimpinan Ulama yang dikawal oleh Majlis Syura Ulama. Selepas ketiadaan beliau, Pas bergerak maju selari dengan Gerakan Islam Seluruh dunia. Dahulunya Pas sebagai parti yang dianggotai majoritinya pak lebai kampung sekarang tanzim Pas wujud diseluruh dunia. Penyertaan dari kalangan cerdik pandai berbondong-bondong ke dalam Pas. Sebelum adanya kepimpinan Ulamak, perjuangan Pas tidak mempunyai watak dan syaksiah yang berbeza dengan Umno. Persoalan tarbiah tidak diberi keutamaan. Mungkin kerana tidak ada orang yang menggerakkanya secara sistematik.

Pas pernah ditinggal oleh Ustaz Nakhaei Haji Ahmad, tokoh pemikir Pas yang hebat. Beliau pernah menduduki kerusi Naib Presiden Pas dan Ahli majlis Syura Pas. Ustaz Nakhaei juga terkenal sebagai penulis yang hebat, banyak menulis buku-buku tarbiah. Penulisannya sentiasa hidup dan segar. Idea-idea beliau juga bernas dilontarkan ke dalam Pas. Hebat macam mana sekali pun, apabila beliau mengambil keputusan keluar parti sedikit pun tidak memberi kesan kepada Pas. Beliau hebat kerana bersama dengan Pas. Ahli Pas hanya akan ikut selagi ia berada bersama Pas. Jika beliau meninggalkan perjuangan, maka ibarat hidup sebatang kara.

Tan Sri Samad Idris bekas Menteri, pernah membayangkan
“Faktor fanatik kepada perjuangan Pas tidak boleh diketepikan begitu sahaja, mereka setia dengan Pas, mereka sanggup dibakar hangus, direndam basah, dicincang lumat, oleh sebab itu Dato’ Mohd. Asri dan Mohd. Nakhaei keluar daripada parti mereka anggap  melukut tepi gantang”. Utusan Malaysia 13hb. Disember 1990)

Inilah bukti kejayaan tarbiah Pas. Ia tarbiah ahlinya supaya wala' kepada Allah, Rasul dan pemimpin. Mereka ditarbiah, pemimpin boleh datang dan boleh pergi. Mereka tidak akan ikut pemimpin yang meninggalkan parti. Mereka sudah diberi kefahaman awal supaya jangan taksub kepada pemimpin. Perjuangan yang menyeru supaya taksub kepada individu ia adalah satu penyelewingan dalam dakwah. Nabi Muhammad SAW tidak ajar pengikutnya supaya sembah  kepada baginda, sebaliknya baginda menyeru supaya mengabdikan diri kepada Allah SWT.


Posted via Blogaway

Ahad, 9 Februari 2014

Gembiranya Bersama Pas

Idris Hj Ahmad
6/2/14

Selain daripada nikmat Iman dan Islam yang merupakan anugerah Allah kepada hambanya, maka nikmat berjamaah adalah yang ketiga. Banyak manusia leka dan lalai tidak sedar bahawa berjamaah juga merupakan tuntutan di dalam Islam. Bukan semua orang dapat menikmati kelazatan berjamaah. Sabda Rasulullah SAW bermaksud " Wajib atas kamu berjamaah" Maksud hadis yang lain " Berjamaah itu rahmat, berpecah merupakan musibah"

Gembiranya bersama Pas kerana dasar yang diperjuangkan oleh Pas ialah Islam seperti yang tercatat di dalam Perlembagaan Pas, perkara 3 Dasar Pas ialah Islam. Dasar yang tidak pernah dimamah usia, sentiasa relevan dalam semua keadaan, samaada waktu senang atau waktu susah, waktu menang atau waktu kalah. Dasar inilah yang menyebabkan Pas sentiasa segar di dalam mana- mana keadaan. Dasar ini menyebabkan pendokongnya merasa perlu beramal dengan Islam dalam semua keadaan. Mungkin sebelum menyertai Pas, peribadinya tidak berapa elok dari segi penghayatan Islam. Keadaanya sudah berubah apabila ia bersama dengan Pas. Perasaan malu datang dengan sendiri kerana panji yang dia pegang ialah Islam. Jika sebelumnya aurat tidak terjaga apabila bersama dengan Pas, secara automatik ia merasa malu jika masih mendedahkan aurat. Berapa ramai di kalangan pimpinan dan ahli Pas telah berhenti merokok. Walau pun mereka ini berada ditahap perokok yang tegar. Mereka berhenti merokok bukan kerana kesihatan, tetapi kerana merasa malu jika masih merokok. Jika ada masih merokok mereka akan menyorok, ertinya tidak merokok di hadapan orang ramai.

Bersama Pas masa tidak terbuang dan sentiasa terisi dengan program yang bermanfaat. Perkara ini amat terasa, terutama bagi mereka yang pernah berada di dua zaman. Satu semasa sebelum bersama Pas, kedua selepas daripada menyertai Pas. Ertinya tidak ada kerehatan. Jika mereka yang bekerja di siang hari, malam ke kuliah di surau kemudian ke program parti . Sehingga ada yang menjawab kita akan berehat di syurga nanti, itulah kerehatan yang sebenar bagi seorang hamba sebagai mana yang pernah dinyatakan oleh Imam Shafie. Maklumlah hari cuti am merupakan hari Pas. Sentiasa ruang dan masa disi dengan program yang membangunkan masyarakat. Malahan dianggap oleh ahli Pas sebagai satu hiburan hati dan satu kepuasan apabila dapat menyumbang kepada perjuangan Pas. Mereka gelisah dan tidak tenang hati jika tidak ada program. Inilah nikmat berjuang.

Bersama dengan Pas memberi ruang untuk mendekati ulamak muttaqin yang sentiasa berjihad di jalan Allah. Mereka tidak peduli keredaan manusia, yang dituntut ialah keredaan Allah. Mereka merupakan tonggak kejayaan Pas untuk menarik sokogan rakyat di peringkat akar umbi. Banyak ijtihad politik seperti tahaluf siasi tidak akan berjaya tanpa restu daripada ulamak. Ulamak cuba menggali khazanah ilmu di zaman silam dengan dipadankan dengan situasi semasa. Daripada sejarah awal penubuhan Pas mempunyai kaitan dengan institusi ulamak dan pondok. Tan Sri Sanusi Jonid bekas Setiausaha Agung Umno pernah mengungkapkan 3 P ( Padi, Pondok dan Pas). Walaupun pondok bukan dikendalikan oleh Pas secara ulangsung. Namun pengajian yang diajar mempunyai persamaan dengan apa yang diperjuangkan oleh Pas. Ulamak inilah yang banyak membantu Pas. Tokoh- tokoh ulama awal yang menggerakkan Pas di peringkat awal seperti Tuan Guru Haji Husin Rahimi Bunut Payung, Tuan Guru Haji Abd Ghani Kubang Bemban Pasir Emas, Tuan Guru Haj Hashim Pasir Tumbuh, Tuan Guru Haji Yahya Junid Padang Lumat Kedah, Tuan Guru Pak Man Bukit Besar, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin Pokok Sena Seberang Perai, Tuan Guru Abd Samad Noh Padang Rengas dan lain-lain lagi. Umno cuba untuk menaja ulamak supaya menyertai mereka, setakat hari ini masih gagal. Ulamak yang muttaqin tidak boleh berlakon dan berpura-pura di dalam kehidupan mereka. Mereka tidak boleh terima perjuangan Umno kerana kontra dengan ilmu yang mereka pelajari. Tambahan pula dari segi rekod, Umno hanya menggunakan ulamak ketika berhajat untuk melawan Pas, selepas itu mereka akan ditinggal begitu sahaja seperti habis madu sepah dibuang. Di dalam Pas jika ada ulamak yang mempunyai agenda peribadi bukan agenda ummah, secara automatik mereka akan terpelanting daripada saf kepimpinan.

Bersama Pas akan melebarkan kenalan di serata dunia. Dalam erti kata yang lain, penyokong Pas akan berada di semua tempat, di mana ada bulan di situ ada orang Pas. Pas menitik berat soal ukhwah, yang menjadi agenda penting di dalam tarbiah Pas. Ukhwah yang merentasi sempadan dan daerah memberi keseronokan kepada kita yang bersama dengan Pas ketika senang atau susah. Pengalaman penulis sendiri, sewaktu penulis diarahkan bertukar daripada Intitut Teknogi Mara ( sekarang UITM) Shah Alam ke Melaka pada awal 1990. Ketika itu saya tidak mempunyai saudara mara yang terdekat untuk uruskan soal rumah dan kemudahan-kemudahan lain. Tetapi alhamdulillah berkat bersama Pas perkara ini begitu mudah diselesaikan dengan bantuan sahabat-sahabat Pas Melaka. Begitulah juga menjadi kelaziman sebagai penceramah yang menjelajah ke seluruh pelusuk kampung, kadang-kadang kenderaan buat hal di tengah jalan.Maka ketika inilah bantuan sahabat Pas yang berdekatan akan membantu. Memang terasa nikmat bersama dengan Pas, walaupun kadang-kadang memenatkan, namun inilah kemanisan perjuangan yang tidak dirasai oleh orang lain. Kemanisan yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit, pangkat dan harta. Jika hendak merasai nikmat maka marilah bersama dengan Pas.


Posted via Blogaway
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...