KULIAH DHUHA MINGGUAN SETIAP SABTU 9.30 PAGI DI DARUL HIKMAH KERDAU. SEMUA DIJEMPUT HADIR

Rabu, 16 Februari 2011

Pilihan Raya Kecil DUN 'Kerdau', Pakatan Rakyat (PAS) Ada Peluang Tetapi Kekuatan BN Jangan Di Nafikan Untuk Terus Mempertahankan Kerusi Itu

Pilihanraya Kecil DUN Kerdau dijangka tiba tidak lama lagi. Sesuatu yang tidak dijangka, kerana masing-masing kini tertumpu ke Merlimau sebenarnya. Inilah yang dikatakan takdir. Kita hanya merancang tapi Allah yang menentukan. Sesungguhnya desas-desus pilihanraya di Kerdau ini sudah lama kedengaran sejak ADUN Kawasan terbabit, Allahyarham Datuk Zaharuddin Abu Kassim sakit dan keluar masuk hospital tahun lalu. Cuma masing-masing tidak menjangka Allah menjemputnya secepat ini, tambahan pula beliau baru saja melangsungkan perkahwinannya. Semalam, krew kami menjengok ke majlis pengkebumian jenazah arwah di Tanah Perkuburan Islam Kg.Paya Taram Kerdau. Tidak ramai pemimpin UMNO BN yang menjejakkan kaki hingga ke tanah perkuburan. Apa yang jelas dapat dilihat masing-masing hanya menunjukkan muka tatkala mendengar kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Apabila PM berangkat pulang maka masing-masing meninggalkan Kerdau dengan kepuasan. Apa yang puas?. Kerana dapat menunjukkan muka kepada pemimpin besar negara itu. Manalah tahu jika berpeluang lagi untuk jadi calon dalam Pilihanraya Umum Ke-13 nanti. Inilah politik namanya. Dapat dilihat, hanya yang berada di tanah perkuburan ketika jenazah dikebumikan ialah Speaker DUN Pahang, Dato' Seri Wan Razali Wan Mahussin dan Exco Pahang Dato' Safri (ADUN Ibam). Mungkin yang lainnya terpaksa balik awal akibat ada urusan penting gamaknya.


Pekan Kerdau mengamit pembangunan, rezeki buat rakyat sebenarnya

Namun, apa yang menarik untuk diperkatakan ialah kawasan ini dilihat masih menjadi kubu kuat UMNO BN. Ini berdasarkan fakta terdapat tiga buah kawasan Felda dalam kawasan DUN Kerdau. Kesemuannya adalah Felda kawasan Jengka (jika tidak silap Jengka 22, Jengka 24 dan Jengka 25). Senario ini sama dengan apa yang berlaku di DUN Tenang baru-baru ini. Undi kawasan Felda telah berjaya memenangkan BN dengan majoriti cukup besar. Kini senario yang sama bakal berlaku di DUN Kerdau. Cuma tinjauan kami ke Pekan Kerdau mendapati ia agak sepi dan daif daripada lain-lain pekan kecil di Pahang. Insfrastrukturnya agak ketinggalan. Mungkin dek kerana lokasinya yang tidak sesuai atau sebaliknya. Agak menarik untuk diperkatakan ialah di simpang masuk ke Kerdau (jalan utama Temerloh-Kuala Krau-Jerantut) kelihatan beberapa buah deretan kedai. Terdapat sebuah sekolah di situ dan beberapa pembinaan lain. Ternyata Kerdau masih ketinggalan dari segi pembangunan sebenarnya.


Markas PAS dilihat begitu strategik dekat pintu masuk ke pekan Kerdau

Biar pun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum menetapkan hari pencalonan dan pengundian, namun kelebihan sebenarnya terletak ditangan Pakatan Rakayt. Ini kerana Markas PAS Kerdau tersergam indah di persimpangan masuk ke pekan itu. Kelihatan bendera PAS dan PKR yang berkibar, seolah-olah menggamit orang ramai yang akan berkampung ke situ tidak lama lagi. Kelihatan pentas PAS yang mengadap jalan utama masuk ke pekan Kerdau. Difahamkan, kawasan itu dibeli daripada orang UMNO. Ia agak strategik kerana terletak bersebelahan dengan sebuah restoran dan beberapa kemudahan lain. Tidak kelihatan markas BN di lokasi terbabit setakat ini. Memandangkan senarionya begitu, maka harapan besar untuk PAS merampas kerusi DUN Kerdau mungkin menjadi kenyataan jika kena caranya. Tambahan pula kemenangan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (2008) lalu hanya sekadar 1,615 undi sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...